langit tidak selalunya cerah | the sky is not always clear

Assalamualaikum w.b.t,

Sudah sekian lamanya aku tidak menjenguk blogku ini.
Harap-harap tidak akan lupalah blogku pada pemiliknya.
Tanpa rasa sedar, sudah masuk hari ke-20 kita sudah berpuasa pada
dalam Bulan Ramadhan yang mulia ini. Kemeriahan Syawal kian terasa
dan jelas terlihat di mana-mana.

Untuk penulisan pada kali ini, sememangnya aku tidak tahu untuk
berbicara apa dengan para pembaca (jika ada). Sambutan Perayaan
Aidilfitri pada kali dan ketika ini aku sambut dengan cara yang sangat
sederhana. Telah aku dahulukan mereka yang penting dalam hidupku
terlebih dahulu iaitu Mak, Bapak dan ahli keluarga yang lain. Tentang
diri sendiri, aku tangguhkan dahulu insya'Allah jika ada rezeki buatku
maka adalah. Dan sesungguhnya tidak diizinkan bagiku, maka aku pasrah
dan redha. Semoga ianya menjadi peringatan serta pengajaran yang
hikmahnya hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui.

Aidilfitri kali ini bakal disambut dengan ketiadaan penyeri hati keluarga
kami, Nurul Aleeya Zara. Esok sudah masuk bulan ke sembilan pemergian
Zara dijemput Ilahi. Namum tetap kenangan pada ketika hari pemergian
arwah Zara segar dalam ingatanku. Kerana aku yang menjadi saksi
pemergiannya. Aku yang sempat melihat dia bertarung nyawanya.
Aku yang pertama mendengar perkhabaran daripada doktor tentang
ketiadaannya. Aku yang pertama mencium dahinya selepas dia pegi untuk
selama-lamanya. Aku dapat merasakan tubuhnya yang dingin setelah
rohnya telah diangkat ke langit. Aku melihat ketenangan pada wajahnya
jelas kelihatan bahawa dia pergi dekat kepada Penciptanya dengan hati
dan jiwa yang suci bersih.
























Sambutan Aidilfitri kali juga buat pertama kalinya disambut bersama

insan berstatus tunang. Dinda Zainorhana beserta keluarga. Mungkin
akan ada sedikit kelainan kerana pada tahun-tahun sebelumnya aku
sememangnya tidak pernah beraya ke rumah belakang. Tapi,kali ini
benar-benar berlainan sama sekali. Inilah yang dikatakan takdir dan hakikat.
Qada' dan Qadar...

Akhir kata, salam aidilfitri diucapkan pada semua...dan pada masa yang
sama kita tidak melemahkan semangat untuk memperbanyakkan amal
ibadat dalam baki hari dalam bulan Ramadhan yang masih ada...Semoga
kesungguhan amal dalam kemuliaan Ramadhan di istiqomahkan ke dalam
bulan-bulan yang seterusnya sehingga bertemunya kembali dengan
Ramadhan al-Mubarak.

Daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W telah bersabda
yang bermaksud :
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan
dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu."

- Hadith riwayat oleh Nasai'e, Ibn Majah dan Baihaqi.

Sekian, Wasalam...
Read More …